Sunday

SIMPTON DAN TANDA AWAL KANSER


Simpton Kanser
 imageimage

Kanser merupakan sejenis penyakit yang berkaitan dengan sel yang terhasil secara ‘tidak normal’ dalam badan manusia. Secara normal, sel akan mati akibat peningkatan umur atau mengalami kecederaan dan tubuh akan menggantikan sel ini dengan jumlah dan jenis yang betul.
Sel yang ‘tidak normal’ ini dipanggil tumor. Tumor akan mengelilingi sel dan mengambil khasiat daripada sel normal. Tumor ini mungkin kanser dan ia akan berkembang dan tersebar ke organ badan melalui ‘laluan’ sendiri dan menjangkiti dari satu tisu ke tisu lain. Lama kelamaan sel kanser yang bertambah banyak akan merebak dari kawasan permulaan ke organ lain melalui saluran darah atau sistem limfa.
Tumor tidak berguna kepada badan, sebaliknya ia mengganggu dan ‘mencuri’ zat daripada sel normal serta boleh membahayakan nyawa pesakit. Sel kanser tidak mempunyai bentuk khas, wujud dalam pelbagai saiz dan berbeza daripada sel sihat yang mempunyai bentuk seragam..
Tidak semua tumor akan menjadi kanser.  Tumor ada dua jenis: Tidak ganas (benign) dan ganas (malignant).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan seperti ketuat. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignant), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain. Ia membesar sendiri sehingga menjadi kanser. Keadaan ini di panggil secondary cancer atau metastasis.
  
Penyakit kanser bukanlah diwarisi!  Bagaimanapun, individu yang mempunyai sejarah keluarga perlulah sentiasa beringat. Sel kanser juga tidak akan menjangkiti orang lain, walaupun melalui pemindahan darah.
Sehingga sekarang punca sebenar bagaimana dan mengapa pertumbuhan sel yang tidak terkawal berlaku masih belum diketahui. Bagaimanapun, kajian mendapati ia ada berkait rapat dengan tabiat, gaya hidup, pemakanan dan faktor geografi, seperti kanser paru-paru yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan ia boleh dielakkan.


Tanda-Tanda Awal  Kanser

Kanser Payu Dara 
Bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada.


Kanser Pangkal Rahim 

Sebarang lelehan atau pendarahan yang luarbiasa , kegatalan, kudis, pembengkakan yang tidak hilang, perubahan pada kulit selepas bersenggama dan turun berat badan.

Kanser Ovari
Haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yang melampau, suara menjadi lebih mendalam.

Kanser Usus Besar
Perubahan tabiat membuang air besar, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air besar, darah di dalam najis ataupun najis berwarna hitam, najis mmenjadi panjang dan bergaris pusat kecil (seperti pensil) serta ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sendawa).  Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa sebab.

Kanser Paru-Paru
Batuk kuat berterusan, batuk berdarah, kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas, stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara, nafas termengah-mengah dan hilang berat badan.
Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.

Kanser Prostat
Sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan.

Kanser Perut
Hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yang tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit.

Kanser Limpa
Sakit di bahagain abdomen, hilang selera makan, turun berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak.

Kanser Otak

Sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening atau pitam dan menjadi pelupa.

Kanser Tekak
Suara garau atau serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher.

Kanser Darah (Leukimia)
Foto
Letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat jangkitan.


Kanser Kulit
image
Jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan kadangkala tompok bersisik). Jenis sel Skuamos (kehadirannya juga menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang berdarah).

Tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan melecur.  Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.

RAWATAN AWAL... peluang sembuh kanak-kanak lebih tinggi.



No comments:

Post a Comment